Kehidupan Bermasyarakat: Belajar, Berkongsi & Menjaga Adab dalam Komuniti Taman


Hidup dalam sebuah taman perumahan bukan sekadar tinggal bersebelahan. Ia tentang bagaimana kita membina suasana harmoni melalui program-program kemasyarakatan seperti gotong royong, majlis suai kenal, aktiviti keselamatan, aktiviti anak muda, dan macam-macam lagi. Semua ini diwujudkan untuk kebaikan bersama, bukan untuk sesiapa jadi hero atau siapa yang paling betul.

Tapi hakikatnya, tak semua program berjalan sempurna seperti yang dirancang. Kadang-kadang ada yang terlepas pandang, ada bahagian yang tak cukup, ada kekurangan sana sini. Dan itu NORMAL. Kita semua sama-sama belajar.

Program Tak Sempurna, Tapi Itu Bukan Alasan untuk Menghentam

Dalam setiap program, kita akan jumpa kekuatan dan kelemahan. Yang penting adalah bagaimana kita belajar daripada pengalaman itu. Kekurangan bukan untuk dijadikan modal memburukkan sesiapa, tapi sebagai ruang untuk memperbaiki diri dan komuniti.

Sayangnya, ada segelintir yang lebih selesa “menghebohkan” kesilapan sekampit taman daripada menyuarakannya dengan cara yang betul. Bila ada yang mencanang keburukan dan memperbesar kelemahan pihak penganjur, ia bukan sahaja menjatuhkan semangat, malah boleh mewujudkan prasangka buruk sesama jiran.

Kritikan itu perlu, tapi biarlah beradab. Teguran yang baik adalah teguran yang membantu, bukan yang menghina.

Ada Cara, Ada Adab

Kalau ada rasa tak puas hati tentang sesuatu program, gunakanlah saluran yang betul. Berbincang dengan jawatankuasa, berikan cadangan, atau suarakan terus secara peribadi kepada pihak terlibat. InsyaAllah, majoriti penganjur memang terbuka menerima pandangan.

Bila kritik dibuat secara terbuka dengan nada mengecam, memalukan atau menimbulkan provokasi, akhirnya masyarakat jadi semakin jauh. Yang berniat membantu pun jadi tawar hati.

Sebab itu pentingnya kita menjaga adab bukan kerana nak “cover” mana-mana pihak, tapi kerana kita mahu taman kita jadi tempat yang aman dan matang dalam menyelesaikan masalah.

Belajar & Berkembang Bersama

Kita semua baik penganjur, peserta, penduduk lama, penduduk baru masih dalam proses belajar. Setiap program yang diadakan adalah peluang untuk mengenal kelemahan dan memperbaiki yang seterusnya. Yang penting, kita buat bersama, bukan saling menjatuhkan.

Komuniti yang kuat bukan tentang komuniti yang sempurna, tapi komuniti yang saling menyokong dan memandang jauh lebih besar daripada sekadar salah siapa.

Penutup

Hidup bertetangga bukan hanya tentang jarak rumah, tapi bagaimana kita membina hubungan. Bila kita belajar menghargai usaha, memberi teguran dengan cara yang baik, dan mengelak daripada menyebarkan provokasi, barulah suasana taman jadi lebih harmoni.

Sama-sama kita jadikan komuniti ini tempat yang selesa, matang, dan penuh rasa hormat.

Post a Comment

Previous Post Next Post

Subscribe Us

Bitcoin