Setiap kali program gotong-royong perdana dijalankan, tumpuan utama lazimnya diberikan kepada kawasan hadapan rumah — membersihkan longkang, merapikan rumput dan mencantikkan laman. Namun, dalam keghairahan memastikan bahagian hadapan kediaman kelihatan kemas dan indah, kawasan lorong belakang rumah sering kali terpinggir daripada perhatian.
Berdasarkan pemerhatian semasa, kawasan di hadapan rumah penduduk kelihatan terjaga dan bersih. Sebaliknya, bahagian belakang rumah menunjukkan keadaan yang kurang memuaskan, dipenuhi semak samun, pokok menjalar, serta sisa-sisa buangan seperti kayu terbiar, perabot lama dan botol kosong. Keadaan ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk, tikus dan binatang berbisa.
Atas sebab itulah, Gotong-Royong Perdana kali ini memfokuskan sepenuhnya kepada kawasan lorong belakang rumah. Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran kepada semua penduduk bahawa kebersihan bukan hanya di hadapan mata, tetapi juga di kawasan yang jarang dilihat orang. Lorong belakang adalah laluan penting bagi sistem saliran, keselamatan dan juga kebersihan persekitaran.
Namun begitu, antara cabaran utama yang sering dihadapi ialah penyertaan penduduk yang masih kurang memberangsangkan. Setiap kali gotong-royong diadakan, wajah-wajah yang sama sahaja yang hadir membantu. Sebelum ini, ada juga dikalangan penduduk menyungut kenapa tiada gotong royong dilaksanakan. Tetapi bila diadakan, wajah wajah yang bersuara tidak hadir.
Apabila hanya segelintir penduduk yang terlibat, usaha menjaga kebersihan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Sikap sambil lewa dan tidak prihatin terhadap kebersihan kawasan bersama inilah yang perlu diubah agar impian menjadikan taman perumahan bersih dan harmoni dapat direalisasikan.
Bagi memastikan usaha ini lebih berkesan, KRT Camilla Bakawali telah mengambil inisiatif membahagikan kawasan kepada 17 zon. Melalui pembahagian ini, KRT dapat mengenal pasti zon yang aktif serta zon yang kurang mengambil berat terhadap kebersihan. Pendekatan ini bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi sebagai langkah memperkukuh semangat kejiranan dan tanggungjawab bersama dalam menjaga persekitaran.
Gotong-royong bukan sekadar aktiviti membersihkan kawasan, tetapi satu manifestasi perpaduan dan keprihatinan komuniti. Apabila semua penduduk berganding bahu tanpa mengira umur atau latar belakang, hasilnya bukan hanya kawasan yang bersih — tetapi juga komuniti yang kuat, bersatu dan harmoni.
Mari sama-sama kita jayakan Gotong-Royong Perdana kali ini dengan semangat baru dan tekad untuk menjadikan lorong belakang rumah kita bersih, selamat dan indah demi kebaikan seluruh komuniti.
Sila lihat gambar keseluruhan keadaan lorong belakang rumah masing masing di laman sosial rasmi Facebook KRT Camilla Bakawali. Ada yang terjaga dan ada yang membiarkan kawasan menjadi semak samun




Post a Comment