Dalam sesebuah taman atau kawasan kediaman, kita pasti akan berjumpa dengan segelintir penduduk yang memilih untuk menjauhkan diri daripada aktiviti komuniti. Mereka tidak mahu hadir program, tidak mahu bercampur dengan jiran, dan merasakan apa yang dianjurkan “tidak memberi manfaat” kepada mereka. Lebih malang, kadang-kadang tanpa disedari, wujud sifat sombong halus ,rasa bahawa diri sentiasa betul, lebih tahu, atau lebih hebat daripada orang lain.
Fenomena ini jelas kelihatan ketika program-program komuniti diadakan. Sewaktu ramai bekerjasama untuk kebaikan bersama, ada pula yang lebih suka memerhati dari jauh sambil mengkritik, tetapi tidak pernah terlibat untuk membantu. Kononnya mereka ada jaringan hebat, pengalaman luas, atau “lebih valid” daripada orang lain. Namun apabila diminta menyumbang masa atau tenaga, mereka hilang entah ke mana.
Bila Merasa Diri Paling Betul, Hilang Rasa Tanggungjawab
Apabila seseorang meletakkan dirinya di posisi “aku paling betul”, dia sebenarnya menutup pintu kerjasama. Program komuniti bukan sekadar aktiviti biasa, ia adalah usaha memastikan kawasan bersih, selamat dan harmoni. Tetapi bila ego menguasai, sumbangan orang lain dipandang rendah, dan rasa tanggungjawab semakin pudar.
Tidak Hadir Program, Tapi Cepat Mengkritik
Ada penduduk yang tidak hadir walau satu pun mesyuarat atau aktiviti. Namun apabila berlaku sedikit kelemahan dalam pengurusan, mereka menjadi individu pertama yang mengkritik.
Kritikan membina itu baik tetapi hanya bermakna jika datang daripada seseorang yang terlibat, bukan hanya pemerhati yang memilih untuk tidak turut serta.
Lebih Percaya Cakap Orang Daripada Mendengar Penjelasan Sendiri
Ada juga golongan yang tidak pernah hadir mesyuarat, tetapi sangat yakin dengan maklumat “dengar-dengar”. Cerita yang sampai pula kadang-kadang ditambah, dicampur atau dibuat andaian.
Maklumat rasmi sentiasa datang daripada tempat sebenar seperti mesyuarat, pengumuman, atau perbincangan terus. Namun apabila seseorang lebih mempercayai sembang kedai kopi berbanding fakta, persepsi yang salah terus berkembang.
Bila Jiran Menegur, Tidak Mahu Mendengar — Lebih Suka Berdebat Dan Menghukum
Ini antara sikap yang paling susah dikendalikan.
Ada penduduk yang apabila ditegur secara baik oleh jiran:
- tidak mahu mendengar pandangan,
- terus mempertahankan diri tanpa menilai keadaan,
- lebih suka berdebat daripada mencari penyelesaian,
- akhirnya bersikap menghukum seolah-olah jiran yang menegur itu bersalah.
Padahal teguran itu datang daripada semangat kejiranan bukan serangan peribadi. Bila seseorang menutup diri daripada pandangan orang lain, apa-apa masalah kecil boleh bertukar menjadi konflik dalam komuniti.
Berfikiran Negatif Merugikan Diri Sendiri
Melihat program komuniti sebagai “membuang masa” atau “tak penting” hanya merugikan diri sendiri. Manfaatnya mungkin tidak nampak serta-merta, tetapi ia membina hubungan baik, mengukuhkan keselamatan kawasan, serta mencipta suasana hidup yang lebih tenang.
Komuniti Maju Bila Semua Ambil Bahagian
Komuniti yang berjaya bukan dibina oleh seorang dua, tetapi oleh penyertaan ramai. Tidak perlu jawatan atau peranan besar, cukup dengan hadir, membantu, memberi idea, dan menghormati sesama penduduk sudah cukup menunjukkan rasa peduli.
Buang Ego, Besarkan Hati
Kadang-kadang, sikap sombong itu tidak disedari. Ia muncul melalui cara kita bercakap, keputusan untuk menjauhkan diri, atau keengganan menerima pendapat.
Sebuah komuniti bukan pentas untuk membuktikan siapa lebih hebat, ia ruang untuk sama-sama menguatkan.
Kesimpulan
Setiap komuniti ada kelemahan, dan setiap program pasti ada kekurangannya.
Tetapi memilih untuk menjauhkan diri, percaya cerita luar, tidak mahu mendengar teguran, dan hanya mengkritik dari jauh, itu bukan jalan penyelesaian.
Lebih baik hadir sendiri, dengar sendiri, terlibat sendiri, dan bersama-sama membina komuniti yang kita diami.
Akhirnya, komuniti berjaya bukanlah tentang siapa paling betul tetapi siapa paling sanggup berbuat baik.



Post a Comment