Pagi 25 Disember 2025 memang lain sikit suasananya di Camilla Bakawali. Seawal jam 9 pagi, kawasan aktiviti sudah mula hidup dengan suara jiran-jiran wanita dan AJK KRT yang sama-sama turun padang. Ada yang menyiang ikan, ada yang menguruskan agihan, dan ada juga yang sekadar membantu apa yang patut. Ringkasnya, semua bergerak dengan satu semangat — buat sama-sama.
Untuk peringkat awal ini, jualan ikan keli dibuat secara terhad, khas untuk jiran wanita dan AJK KRT sahaja. Jualan terbuka kepada seluruh keluarga Camilla Bakawali belum lagi dilaksanakan, memandangkan ini adalah cubaan pertama bagi menguji pengurusan dan kemampuan bekalan ternakan.
Aktiviti yang berakhir sekitar jam 11 pagi ini melibatkan hampir 17 orang. Sebanyak 135 ekor ikan keli, lebih kurang 20 kilogram semuanya, berjaya dijual dengan jumlah jualan hampir RM160. Walaupun jualan terhad, sambutan yang diterima cukup memberangsangkan. Malah, ada yang terlepas peluang dan hanya mampu senyum sambil berkata, “kita tunggu 2nd round.”
Apa yang lebih manis, aktiviti ini bukan sekadar jual beli. Ia tentang kebersamaan, gelak tawa, dan rasa bangga dengan hasil usaha sendiri. Dari kolam ternakan ke dapur jiran, semuanya berlaku dalam satu pagi yang sederhana tapi penuh makna.
Insya-Allah, langkah kecil ini akan diperbaiki dari semasa ke semasa. Dengan perancangan yang lebih kemas dan ternakan yang ditambah, tak mustahil suatu hari nanti hasil ikan keli ini dapat dinikmati oleh lebih ramai penduduk Camilla Bakawali.
Sebab rezeki paling sedap, selalunya datang bila kita buat sama-sama. Untuk gambar boleh layari laman sosial rasmi Camilla Bakawali



Post a Comment