Dalam kehidupan seharian, kadang-kadang kita terlalu fokus pada diri sendiri, keluarga terdekat dan sanak saudara. Kita rasa itu sudah memadai. Tetapi… benarkah begitu?
Cuba kita fikir-fikirkan semula.
1. Hidup Berjiran Bukan Sekadar Tinggal Bersebelahan
Ada dalam kalangan kita yang merasakan tidak perlu mengenali jiran di dalam komuniti. Cukuplah tahu orang di dalam rumah sendiri selebihnya tidak penting. Malah ada yang menganggap,jika berlaku sesuatu di dalam rumah,aku masih boleh mengatasi sendiri tanpa bergantung kepada jiran sekeliling.
Sikap ini nampak kecil, tetapi lama-kelamaan boleh menjauhkan hubungan sesama penduduk. Hidup berjiran adalah tentang keselamatan, keprihatinan, dan kebersamaan.
2. Kurang Peduli, Kurang Ambil Tahu
Ada juga yang langsung tidak mengikuti perkembangan atau program komuniti yang dianjurkan. Gotong-royong, mesyuarat kawasan, program kekeluargaan semuanya seakan tidak menarik perhatian. Malah ada yang sibuk dengan urusan sendiri diluar rumah dan pejamkan mata jika nampak jiran sekeliling sibuk bergotong royong.
Padahal program ini diwujudkan bukan untuk membebankan sesiapa, tetapi untuk mengukuhkan hubungan dan menjaga kawasan tempat kita tinggal.
3. Rumah Dijadikan Seperti Hotel
Ada juga yang hanya keluar dan masuk rumah mengikut waktu kerja. Selepas itu,langsung tidak keluar rumah. Hari cuti pula lebih gemar membawa keluarga keluar dari kawasan taman, daripada menyertai aktiviti komuniti. Tidak salah berhibur diluar, tetapi jangan sampai langsung tiada masa untuk mengenali jiran yang tinggal hanya beberapa meter dari pintu rumah kita.
4. Anak-Anak Bermain Pun Jadi Isu
Bila anak-anak jiran bermain di padang komuniti, ada pula yang menganggap itu mengganggu ketenteraman untuk dia berehat dihujung minggu
Anak-anak bermain sebenarnya adalah tanda kawasan kita hidup, ceria dan selamat. Yang penting, mereka bermain dengan tertib dan dalam pengawasan.
5. Komuniti Kuat Bermula Dengan “Salam”
Kadang-kadang hubungan kejiranan bermula dengan perkara mudah, bertegur sapa, senyum, hulur bantuan apabila perlu. Semakin ramai yang ada kesedaran ini, semakin kukuh komuniti kita.
Akhir Kata
Mari kita ambil masa sekejap untuk menilai semula sikap kita terhadap jiran dan komuniti. Tidak rugi pun kalau kita saling mengenali, saling menghormati dan saling membantu. Malah, bila ada apa-apa kecemasan atau masalah, jiranlah orang yang paling dekat untuk bantu kita terlebih dahulu.
Semoga komuniti kita terus harmoni, saling menyokong dan penuh rasa kekitaan.



Post a Comment