Majlis Tadarrus & Khatam Al-Quran Himpunkan Lebih 100 Jemaah Komuniti


Suasana penuh keberkatan dan ukhuwah dapat dirasai apabila lebih 100 jemaah menghadiri
Majlis Tadarrus dan Khatam Al-Quran yang berlangsung pada 7 Mac 2026 bermula jam 8.00 pagi di Surau Nur Syakirin sempena Nuzul Quran. Program ini dianjurkan oleh KRT Camilla Bakawali dengan kerjasama Biro Agama dan Kebajikan Alumni 4B Selangor, Persatuan Kebajikan Ibu Tunggal Penyayang Batangkali serta KRT Rumah Pulau.

Sejak awal pagi lagi, para peserta mula memenuhi ruang surau bagi menyertai sesi tadarrus Al-Quran yang diadakan secara berkumpulan. Program ini turut disertai oleh jemaah dari beberapa surau sekitar kawasan Bukit Sentosa dan Batangkali,NGO seperti KRT Rumah Pulau dan dari Persatuan Kebajikan Ibu Tungga Penyayang menjadikan suasana majlis lebih meriah dan penuh dengan semangat kebersamaan.

Majlis diteruskan dengan acara kemuncak iaitu khatam Al-Quran secara berjemaah, yang menjadi simbol kesyukuran dan penghayatan terhadap kitab suci Al-Quran. Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, golongan wanita, belia dan wakil komuniti setempat jelas menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan terhadap program berbentuk kerohanian seperti ini.

Dalam ucapan penutup, Pengerusi KRT Camilla Bakawali, Noorhasliza, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk para sukarelawan dan organisasi rakan kerjasama yang telah memberikan sokongan penuh.

Turut menyampaikan ucapan ialah Pengerusi Biro Agama dan Kebajikan Alumni 4B Selangor, Dato Haji Alias, yang menekankan kepentingan program kerohanian seperti ini dalam memperkukuhkan hubungan silaturahim serta memupuk kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai matlamatnya sebagai satu platform yang bukan sahaja menggalakkan penghayatan Al-Quran, malah mempererat hubungan antara komuniti dari pelbagai kawasan. Majlis berakhir sekitar jam 12.00 tengah hari dalam suasana harmoni dan penuh rasa syukur.

Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu usaha membina komuniti yang lebih bersatu, berilmu dan berakhlak mulia.

Untuk gambar aktiviti sepanjang program dapat dilihat di laman sosial rasmi KRT Camilla Bakawali

Post a Comment

Previous Post Next Post

Subscribe Us

Bitcoin