Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Komuniti


Sambutan Minggu Perpaduan 2026 telah berlangsung dengan meriah pada 17 Mei 2026 di Padang Ilham Kasih Camilla dengan penyertaan lebih daripada 50 orang penduduk, ahli keluarga serta wakil KRT dari Batangkali, Anggerik dan Kemboja. Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu dimulakan dengan aktiviti Senaman Perpaduan bagi menyemarakkan semangat kebersamaan dan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang hari antaranya pertandingan karom bagi kategori lelaki, pertandingan memasak kerabu, pertandingan timbang sepak raga serta acara balingan bola ke dalam jaring. Selain itu, sukaneka khas untuk wanita dan remaja turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta.

Pada sesi petang pula, pelbagai acara sukaneka kanak-kanak telah dijalankan sehingga jam 6.00 petang dengan suasana yang penuh ceria dan semangat perpaduan. Gerai-gerai jualan yang dibuka sepanjang program turut memeriahkan sambutan serta memberi peluang kepada penduduk setempat menjalankan aktiviti ekonomi komuniti.

Majlis diteruskan dengan upacara penyampaian hadiah dan ucapan perasmian yang disempurnakan oleh wakil Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional daerah Hulu Selangor, Pn Faezah. Sambutan Minggu Perpaduan 2026 ini berjaya mencapai matlamatnya dalam mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat sebelum program melabuhkan tirainya sekitar jam 7.00 malam.

Untuk berita bergambar, boleh layari laman sosial rasmi Keluarga Camilla Bakawali

Post a Comment

Previous Post Next Post

Subscribe Us

Bitcoin