ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA KELUARGA CAMILLA BAKAWALI
Malam ini, kita bertemu sebagai satu komuniti di dalam grup whatsapp ini.
Ia bukan hanya sekadar sebagai jiran, tetapi sebagai keluarga yang telah melalui satu tahun yang penuh warna dan ujian.
Tahun 2025 kini sampai ke penghujungnya, membawa bersama segala cerita tentang perjuangan, pengorbanan, dan keikhlasan barisan kepimpinan KRT yang tidak pernah lelah berbakti untuk keluarga Camilla Bakawali.
Setahun ini menyaksikan bagaimana KRT bukan sekadar sebuah jawatankuasa, tetapi nadi yang cuba menggerakkan kehidupan komuniti.
Ada program yang berjalan lancar, ada yang tersekat di tengah jalan.
Ada usaha yang dipuji, dan tidak sedikit yang dipersoalkan.
Ada tenaga yang memberi tanpa mengharap balasan, dan ada juga yang berasa letih kerana kurangnya penghargaan. Namun kita tetap memilih untuk terus melangkah, demi kejiranan yang harmoni dan komuniti yang lebih peduli.
Malam ini, marilah kita bermuhasabah bersama.
Bukan untuk membuka aib, bukan untuk menuding jari, tetapi untuk mengakui bahawa menjadi penggerak komuniti bukanlah tugas yang mudah.
Kita berhadapan dengan pelbagai pandangan, kerenah, dan cabaran,
namun di situlah terletaknya nilai sabar, keikhlasan dan kebersamaan.
Dalam KRT Camilla Bakawali, setiap sumbangan adalah bermakna.
Tidak kira sama ada turun memasak, mengangkat kerusi, menyumbang idea, menjaga keselamatan, atau sekadar hadir memberi sokongan, semuanya adalah batu-bata kecil yang membina kekuatan komuniti ini.
Walaupun ada usaha yang tidak kelihatan, atau dianggap remeh, ketahuilah bahawa ia tetap bernilai di sisi Allah dan di mata mereka yang memahami.
Apabila tirai tahun 2026 mula terbuka, marilah kita melangkah sebagai keluarga yang lebih bersikap dan berfikiran matang. Belajarlah untuk menghargai serta menyokong usaha sesama kita.
Ucapan terima kasih, senyuman, dan sokongan kecil mampu menjadi penyuntik semangat yang besar kepada mereka yang terus setia bersama dengan KRT Camilla Bakawali.
Tahun 2026 bukan sekadar tahun baharu, tetapi ruang untuk transformasi KRT dan keluarga Camilla Bakawali. Kita tidak menjanjikan kesempurnaan, tetapi kita berjanji untuk memperbaiki diri. Kita tidak menuntut pujian, tetapi kita berharap kepada kefahaman,sokongan dan kerjasama.
Apa yang kita lakukan hari ini, meskipun ada segelintir yang menganggapnya membuang masa atau tidak berbaloi, sebenarnya sedang membentuk legasi untuk anak-anak dan generasi seterusnya. Sebuah komuniti yang hidup bukan dibina dengan kata-kata, tetapi dengan kesediaan untuk peduli dan bertindak bersama.
Malam ini, biarlah kita sematkan dalam hati :
untuk terus menyokong program dan aktiviti KRT,
untuk menegur dengan adab,
untuk berbeza pandangan tanpa memutuskan ukhuwah serta tidak menyakiti perasaan orang lain,
dan untuk menjaga keharmonian kejiranan yang kita kongsi.
Sebagai penutup tahun 2025, kami selaku barisan penggerak KRT dengan penuh rendah hati memohon ampun dan maaf.
Andai sepanjang menguruskan program, membuat keputusan, atau menyampaikan teguran terdapat kata-kata yang kurang menyenangkan atau tindakan yang mengguris perasaan, kami memohon kemaafan.
Semoga Allah SWT menerima setiap usaha kecil dan besar yang telah kita lakukan bersama.
Semoga Dia mengikat hati-hati kita dengan kasih sayang,
dan mengurniakan tahun 2026 sebagai tahun yang lebih tenang, lebih bersatu, dan lebih bermakna untuk keluarga kita, keluarga Camilla Bakawali.
Selamat tinggal 2025.
Selamat datang 2026.
Semoga KRT Camilla Bakawali terus menjadi ruang untuk menyemai kebaikan dan menjaga kebersamaan dikalangan keluarga Camilla Bakawali dan sekitarnya.
KRT CAMILLA BAKAWALI



Post a Comment