Suasana Teratak Ilham Kasih Camilla pada pagi 17 Januari 2026 begitu ceria apabila Program Men-Canting Batik dianjurkan khas oleh Kejiranan Wanita Camilla Bakawali. Bermula seawal jam 9.00 pagi, program ini menghimpunkan penduduk setempat dalam satu aktiviti seni yang santai namun sarat dengan nilai warisan dan kebersamaan.
Seramai kira-kira 80 orang yang hadir yang terdiri daripada peserta dan keluarga Camilla Bakawali hadir memeriahkan program. Aktiviti mencanting dan mewarna batik bukan sahaja memberi pendedahan kepada seni tradisional, malah membuka ruang interaksi yang lebih mesra antara jiran tetangga. Gelak tawa, perkongsian pengalaman serta semangat saling membantu jelas terpancar sepanjang program berlangsung.
Turut hadir memeriahkan suasana ialah dua orang wakil daripada JPNIN iaitu Puan Faizah dan Encik Izat, yang memberikan sokongan moral terhadap usaha komuniti dalam memperkasakan aktiviti kemasyarakatan khususnya melibatkan golongan wanita.
Kemuncak program menyaksikan para peserta mempamerkan hasil kreativiti masing-masing. Walaupun kebanyakannya pertama kali mencuba, hasil batik yang terhasil cukup membanggakan dan menjadi kenangan manis buat semua yang terlibat. Program berakhir sekitar jam 11.00 pagi dalam suasana penuh keceriaan dan kepuasan.
Secara keseluruhannya, Program Men-Canting Batik ini bukan sahaja berjaya memupuk minat terhadap seni batik, malah mengukuhkan lagi ikatan silaturahim dalam komuniti Camilla Bakawali. Aktiviti sebegini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai wadah memperkasa komuniti melalui pendekatan santai, kreatif dan berfaedah.
Untuk koleksi gambar boleh layari laman sosial rasmi Camilla Bakawali



Post a Comment