Camilla Bakawali, 17 Januari 2026 — Suasana malam Sabtu di Camilla Bakawali diserikan dengan kehadiran kira-kira 70 orang penduduk setempat yang menyertai program ceramah Maulidur Rasul bertajuk “Di Sebalik Pengajaran Israk Wal Mikraj”. Program yang bermula pada jam 9.00 malam ini dianjurkan oleh KRT Camilla Bakawali dan telah berlangsung di teratak Ilham Kasih Camilla.
Ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Sukri Mat yang mengupas peristiwa Israk dan Mikraj dengan gaya penyampaian santai dan gelak ketawa tetapi penuh pengisian rohani. Penekanan diberikan kepada kepentingan solat, ketaatan kepada Allah SWT serta penghayatan nilai akhlak dalam kehidupan seharian. Pendekatan yang mudah difahami menjadikan ceramah ini dekat di hati para hadirin.
Menurut wakil penganjur KRT Camilla Bakawali, penganjuran program ini bertujuan untuk menghidupkan suasana ilmu dan memperkukuh hubungan komuniti.
“Program seperti ini bukan sekadar majlis ceramah, tetapi ruang untuk kita berkumpul, saling mengenali dan menguatkan ukhuwah sesama jiran. Ilmu yang disampaikan diharap dapat menjadi peringatan dan panduan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Majlis berlangsung dalam suasana tenang dan harmoni, mencerminkan semangat kekeluargaan dalam komuniti Camilla Bakawali. Kehadiran yang memberangsangkan turut menunjukkan sokongan penduduk terhadap usaha KRT dalam menganjurkan program berteraskan keilmuan dan kerohanian.
Sebagai penutup majlis, tetamu yang hadir dijamu dengan sedikit juadah ringan. Sesi ini bukan sahaja menghilangkan penat, malah menjadi ruang santai untuk beramah mesra dan mengeratkan silaturahim antara penduduk.
Penganjuran ceramah ini sekali lagi membuktikan peranan aktif KRT Camilla Bakawali sebagai pemangkin kepada aktiviti yang memberi manfaat rohani dan sosial kepada komuniti. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan secara berterusan demi membina masyarakat yang harmoni, berilmu dan bersatu hati.



Post a Comment