Bakawali, 18 Januari 2026 – Program Perlawanan Persahabatan Futsal U18 anjuran bersama KRT Camilla Bakawali telah berlangsung dengan jayanya pada 18 Januari 2026 bertempat di Gelanggang Futsal KRT Camilla, Bakawali, bermula jam 8.00 pagi.
Sebanyak enam pasukan belia telah mengambil bahagian dalam program ini, iaitu Tricksters FT A, Tricksters FT B, Tricksters FT C, Tricksters FT D, 7 Warrior Sejati dan Tabrak FC. Setiap pasukan diwakili oleh seramai 10 orang pemain yang terdiri daripada tujuh pemain utama dan tiga pemain simpanan. Perlawanan telah dikendalikan oleh dua orang pengadil, iaitu Encik Sa’adon dan Encik Amin.
Penganjuran perlawanan persahabatan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan mewujudkan jaringan kerjasama antara pasukan, di samping meningkatkan tahap kecergasan serta kemahiran permainan dalam suasana kompetitif yang terkawal. Selain itu, program ini turut memberi pendedahan taktikal kepada pemain serta membantu menilai kekuatan dan kelemahan pasukan sebagai persediaan menghadapi kejohanan akan datang.
Perlawanan dijalankan mengikut jadual yang telah ditetapkan dengan format permainan selama tujuh minit menggunakan kiraan 7-2-7 bagi setiap perlawanan. Sepanjang kejohanan, suasana persaingan sihat dan semangat kesukanan jelas dapat dilihat dalam kalangan para pemain.
Keputusan akhir menyaksikan Tricksters FT C muncul sebagai Johan, diikuti Tricksters FT A sebagai Naib Johan, Tricksters FT B di tempat ketiga, Tabrak FC di tempat keempat, 7 Warrior Sejati di tempat kelima dan Tricksters FT D di tempat keenam. Anugerah Penjaring Gol Terbanyak telah dirangkul oleh Iqbal daripada pasukan Tricksters FT C dengan catatan sebanyak 10 gol.
Pihak KRT Camilla Bakawali merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pasukan yang terlibat, barisan pengadil serta urusetia yang telah memberikan komitmen penuh dalam menjayakan program ini. Diharapkan penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan bagi melahirkan lebih ramai atlet muda berbakat serta memperkukuhkan semangat perpaduan dan gaya hidup sihat dalam kalangan belia komuniti setempat.



Post a Comment